Pada 7 Jun 2024, sekolah kita telah mengadakan sambutan Hari Gawai dengan meriah. Para pelajar dan guru memakai pakaian tradisional yang berwarna-warni, dari etnik tempatan tanah air Sarawak yang terdiri daripada golongan Dayak iaitu Iban, Bidayuh, Orang Ulu malah kaum utama Malaysia, Melayu, Cina dan India. Adat dan tradisi kaum Iban yang unik terus dipertahankan sejak sekian lama hingga ke era moden yang berteknologi kini dengan permulaan majlis dengan upacara mengelilingi pokok ranyai oleh pihak pengurus sekolah, mengukir senyuman lebar di wajah guru dan murid yang terhibur sambil ketawa.

 

Pada pukul 8:45 pagi, semua guru, staf sokongan, penolong kanan, dan pengetua turun dari bilik guru ke plaza dengan pakaian tradisional mereka yang anggun. Mereka dikehendaki bergambar di photobooth yang dihias cantik dengan tema Hari Gawai sebelum mengambil tempat duduk masing-masing.

 

Selepas semua guru duduk di tempat masing-masing, majlis pun bermula dengan nyanyian lagu “Negaraku” dan “Ibu Pertiwiku”, diikuti dengan bacaan doa oleh Husna dari kelas 4 Joy dan diiringi dengan bacaan prayer oleh Shannon dari kelas 5 Joy. Majlis diteruskan dengan ucapan oleh pengetua sekolah, Puan Disin anak Nyaom. Kemudian, sambutan Hari Gawai telah dirasmikan oleh upacara menyumpit daripada pengetua.

Ucapan daripada Pengetua SMK ST TERESA, Puan Disin Anak Nyaom

Perasmian Sambutan Hari Gawai dengan Upacara menyumpit 

Majlis diikuti dengan upacara mengelilingi pokok ranyai atau juga dikenali sebagai ‘ngetas ranyai’ oleh pengurusan sekolah. ‘Ranyai’ ialah simbolik pohon kayu yang kebiasaannya dibina menggunakan batang pokok pisang atau batang pohon nyiur bersama pelepahnya. Upacara tersebut dimulakan oleh pengetua sekolah untuk mengelilingi ranyai tersebut sambil diiringi wakil guru, staf sokongan serta penolong-penolong kanan. Sambil itu, mereka akan memilih barangan yang disangkut pada pohon tersebut dengan iringan muzik yang dimainkan.

 

Selesai upacara tersebut, acara majlis yang dinanti-nantikan iaitu Pertandingan Kumang antara kelas pun bermula. Wakil murid dari setiap kelas dikehendaki tampil di hadapan untuk memperagakan pakaian etnik tradisional mereka yang menarik perhatian para guru dan murid. Guru-guru dan murid-murid memberi sokongan yang padu dan tepukan yang gemuruh kepada wakil-wakil kumang.

Wakil kumang Gawai dari setiap kelas

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan Tarian Kreasi 1 oleh Kelab Kebudayaan.

Sebelum majlis ini berakhir, hadiah telah disampaikan oleh pengetua kepada para pemenang kumang Gawai 2024 !

Tempat Pertama 🥇 telah dimenangi oleh Alvina Angelie A/P Anamuthu dari kelas 2 JOY ! 

Tempat Kedua 🥈 telah dimenangi oleh Melanie Laleng Anak William dari kelas 5 HOPE !

Tempat Ketiga 🥉 telah dimenangi oleh Griselda Phila Anak Wilfred dari kelas 3 JOY !

Selepas majlis tamat, guru dan staf dikehendaki menghadiri jamuan Gawai di bilik guru manakala murid-murid dikehendaki berkumpul untuk ngabang di plaza dan kantin.

SELAMAT HARI GAWAI 🌾

• GAYU GURU GERAI NYAMAI •

Love and Serve,

Angeline Ho,

3 Joy