Pada 27 April 2024 yang lalu, SMK ST. TERESA telah mengadakan Program Gotong-Royong Madani yang bertempat di kawasan sekolah. Program ini bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga sekolah, memperindah kawasan sekolah, dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan persekitaran. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelajar, guru, serta ibu bapa.

Program Gotong-Royong Madani bermula pada pukul 7:00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta di dewan sekolah. Selepas pendaftaran, majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Pengetua SMK ST. TERESA, Puan Disin Anak Nyaom. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan menjaga kebersihan sebagai tanggungjawab bersama dan menggalakkan semua pihak untuk terlibat secara aktif dalam menjayakan program ini. Selepas ucapan perasmian, makanan dan minuman disediakan secara percuma kepada guru-guru, murid-murid, dan ibu bapa sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka dalam program ini.

Sesi pendaftaran peserta Program Gotong-Royong Madani 2024.

Ucapan perasmian oleh Pengetua SMK ST. TERESA, Puan Disin Anak Nyaom.

Edaran makanan dan minuman percuma kepada guru, murid, dan ibu bapa.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik dijalankan. Antaranya termasuk jualan buku dan pakaian terpakai, jualan makanan dan minuman, perkhidmatan cat kuku, serta jualan gelang manik dan cincin. Aktiviti jualan ini bukan sahaja memeriahkan suasana, malah hasil kutipan disalurkan bagi membiayai projek pembangunan dewan sekolah yang baharu.

Jualan buku dan pakaian terpakai untuk mengumpul dana pembangunan dewan baharu.

Pelbagai pilihan makanan dan minuman dijual bagi memeriahkan Program Gotong-Royong Madani.

Perkhidmatan cat kuku turut disediakan, menambah kemeriahan Program Gotong-Royong Madani.

Jualan gelang manik dan cincin dengan rekaan unik mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung.

Selain itu, aktiviti membersihkan kawasan sekolah seperti memungut sampah, mencuci longkang, mengecat tangga, membersihkan kelas serta pejabat am turut dijalankan. Semua aktiviti ini melibatkan penyertaan aktif daripada pelajar, guru, dan ibu bapa.

Salah satu projek utama dalam gotong-royong ini adalah pembinaan tapak kolam ikan yang terletak di sebelah koperasi sekolah, dikenali sebagai ‘The Amare Garden and Reflexology.’ Projek ini bertujuan untuk menceriakan kawasan sekolah dan mewujudkan ruang santai yang boleh dinikmati oleh semua warga sekolah.

The Amare Garden and Reflexology – kini siap dibina.

Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Mereka membantu dalam menyediakan makanan untuk jualan, menyumbangkan barangan terpakai untuk dijual, dan bersama-sama membersihkan kawasan sekolah. Kehadiran ibu bapa bukan sahaja memeriahkan suasana tetapi juga menunjukkan kerjasama erat antara pihak sekolah dan komuniti.

Secara keseluruhannya, Program Gotong-Royong Madani 2024 di SMK ST. TERESA berjaya mencapai objektifnya. Program ini bukan sahaja memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab dalam kalangan warga sekolah, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar, guru, dan ibu bapa. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan demi kesejahteraan dan keharmonian bersama.

Love and Serve,

Alysyia Samantha,

4 Joy