Pada 13 Jun 2025, pihak sekolah telah mengadakan Pertandingan Kumang Gawai Sempena Sambutan Hari Gawai Peringkat Sekolah. Aktiviti ini melibatkan penyertaan murid dan guru dalam mengenakan pakaian tradisional seperti baju kurung, baju kebaya, cheongsam, sari dan sebagainya. Ketibaan para guru dan pelajar memakai pakaian tradisional pelbagai kaum telah memaparkan semangat menghargai warisan budaya serta cinta akan negara.
Pada pukul 7:10 pagi, guru-guru, penolong kanan, staf sokongan dan pengetua dikehendaki turun dari bilik guru untuk ke plaza. Mereka bergerak ke plaza dengan pakaian tradisional yang menawan, diikuti dengan keceriaan yang terlukis di raut wajah masing-masing.

Seusai semua guru mengambil tempat masing-masing, majlis pun dimulai dengan nyanyian lagu “Negaraku” dan “Ibu Pertiwiku”. Seterusnya, bacaan doa diketuai oleh Nur Afrina Batrisyia dari kelas 4 Joy dan diiringi dengan bacaan prayer oleh Elisha Eve Fernandez  dari kelas 5 Joy. Majlis disusuli dengan ucapan pengetua sekolah, Puan Disin anak Nyaom, disertai dengan Perasmian Sambutan Hari Gawai.

Majlis Perasmian
Majlis dilanjutkan dengan upacara mengelilingi pokok ranyai oleh pengurusan sekolah. Pokok ranyai dihias indah dengan gula-gula dan pelbagai hadiah kecil. Mengikut tradisi kaum Iban, pokok ranyai melambangkan kemakmuran dan dikaitkan dengan upacara perayaan Gawai. Sambutan ini dimulakan oleh pengetua sekolah mengelilingi pokok ranyai, disertai penolong-penolong kanan, wakil para guru serta staf sokongan. Mereka mengelilingi pokok sambil mengambil hadiah kecil yang digantung disekeliling pokok ranyai sambil muzik dimainkan
Seterusnya, acara majlis yang ditunggu-tunggu iaitu Pertandingan Kumang antara kelas pun dimulakan. Setiap kelas menghantar satu wakil murid bagi menampilkan busana etnik tradisional yang memukau pandangan warga sekolah. Pakaian tradisional murid-murid yang mempesona dan unik bukan sahaja memikat hati para guru dan murid, malah menerima sokongan padu kepada para kumang yang beraksi dengan penuh yakinnya.
Wakil Kumang Gawai dari setiap kelas
Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian dari Kelab Choir serta persembahan tarian dari Kelab Kebudayaan.

Sebelum tirai acara bermula, majlis dimeriahkan dengan pengenalan tiga hakim yang turut hadir bagi memberikan penilaian kepada peserta-peserta. Pengenalan disertakan dengan Alvina Angelia dari kelas 3 Joy yang telah digelar sebagai “Paqeant Queen”, turut hadir memberikan persembahan tarian kecil kepada para penonton.

Sebelum majlis ini berakhir, hadiah telah disampaikan oleh pengetua kepada para pemenang kumang Gawai 2025!
Tempat pertama 🥇 dimenangi oleh Eva Febriana dari kelas 5 Joy !
Tempat kedua 🥈 dimenangi oleh Alysa Suguna dari kelas 1 Joy !
Tempat ketiga 🥉 dimenangi oleh Alexia dari kelas 3 Joy.
Berakhirnya majlis, murid-murid pun dikehendaki untuk masuk ke kelas masing-masing manakala para guru serta staf bergerak ke bilik guru untuk menghadiri jamuan Gawai.

 

Musim Gawai, Music Besukur

Selamat Hari Gawai !

 

Love and Serve,

Josephine Ivy,

3 Joy