Pada hari Rabu, 9 Ogos 2023 yang lepas, pihak Ahli Lembaga Koperasi SMK St Teresa telah menganjurkan Hari Koperasi peringkat sekolah bertempat di Plaza SMK St Teresa. Semua kelab dan persatuan telah dijemput untuk menyewa sebuah gerai jualan dengan harga RM25 dan mereka boleh menjual tidak kira makanan mahupun kraftangan. Hari Koperasi ini turut bertujuan untuk membantu kelab-kelab di SMK St Teresa meningkatkan dana kelab mereka. Bagi menjayakan Hari Koperasi tersebut, sebuah perhimpunan rasmi telah diadakan sebagai tapak perasmian majlis.

 

 

 

Perhimpunan dimulakan dengan menyambut ketibaan tetamu jemputan, iaitu Puan Farida binti Abdul Wahab selaku Pengerusi Ehwal Ekonomi dan Suruhanjaya Pembangunan Koperasi Malaysia Bahagian Kuching. Semasa perhimpunan berlangsung, gimik pelancaran telah dilakukan oleh Puan Farida binti Abdul Wahab diiringi semua Penolong Kanan, Ketua-ketua Bidang serta pihak Ahli Lembaga Koperasi SMK St Teresa.

 

 

Selain gimik pelancaran, Puan Farida binti Abdul Wahab turut dijemput untuk ke taman herba bagi aktiviti menanam pokok sebagai simbolik pelancaran Hari Koperasi SMK St Teresa 2023.

 

Setelah perhimpunan tamat, ahli kelab dan persatuan yang terlibat diberikan masa untuk menyediakan gerai jualan mereka sebelum para pelajar dibenarkan untuk membeli. Hampir semua kelab dan persatuan di SMK St Teresa tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian. Wah, meriahnya!

 

Sekitar pukul 9:00 pagi, para pelajar dibenarkan untuk turun ke Plaza dan membeli barangan yang dijual. Terdapat pelbagai variasi bahan jualan yang tersedia oleh semua gerai. Makanan yang dijual hari itu semuanya kelihatan sedap-sedap belaka! Air-air juga tidak kurang menarik hati, setaraf dengan permainan, kraftangan dan pencuci mulut yang disediakan! Terbukti bahawa program ini telah mencungkil kreativiti murid-murid SMK St Teresa dari segi menentukan bahan jualan serta hiasan gerai.

 

 

Selepas 10:30 pagi, para pelajar yang berniaga mendapat kunjungan daripada pelajar SK St Teresa. Terpampar sinar kebahagiaan pada wajah kanak-kanak tersebut apabila dapat membeli makanan dan minuman yang menarik hati!

 

 

Kemudian, program pun bersurai sekitar pukul 11:30 pagi. Para peniaga telah memastikan tiada sampah yang ditinggalkan di Plaza untuk memastikan kawasan sekolah sentiasa bersih. Tamatlah sudah Hari Koperasi SMK St Teresa 2023. Semoga pihak sekolah dapat menganjur lebih banyak program seperti ini pada masa hadapan untuk menyemarakkan semangat kerjasama dan membantu meningkatkan jumlah usahawan muda di Malaysia.

 

Amare Et Servire,

Anastasia E. & Elizabeth L.